Friday, February 23, 2007

Taujih Fiqhi Siri 2

HUKUM WUDHU' BAGI YANG MENYENTUH PEREMPUAN

MUQADDIMAH

Dalam siri sebelum ini, secara ringkas para pembaca telah diterangkan berkenaan salah satu bentuk dalam disiplin ilmu taujih qiraat iaitu taujih fiqhi. Para pembaca juga dapat melihat secara umum berkenaan hubungan antara ilmu qiraat dan fiqh Islam serta manhaj fuqaha' ketika berhujah dengan ilmu qiraat. Pada kali ini penulis cuba membawa ke hadapan para pembaca contoh perbezaan qiraat pada ayat al-Quran yang menjadi dalil kepada para ulama fiqh bagi menetapkan atau mensabitkan mazhab mereka terhadap sesuatu hukum.

HUKUM WUDHU' BAGI YANG MENYENTUH PEREMPUAN

Para ulama fiqh telah berselisih pendapat berkenaan hukum wudhu' bagi lelaki yang menyentuh perempuan. Perbezaan ini berpunca daripada perbezaan qiraat yang terdapat pada kalimah ( لامَسْتُم ) pada ayat 43 Surah al-Nisaa serta ayat 6 Surah al-Maidah. Nas di dalam Surah al-Nisaa ialah;


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لا تَقْرَبُوا الصَّلاةَ وَأَنْتُمْ سُكَارَى حَتَّى تَعْلَمُوا مَا تَقُولُونَ وَلا جُنُبًا إِلا عَابِرِي سَبِيلٍ حَتَّى تَغْتَسِلُوا وَإِنْ كُنْتُمْ مَرْضَى أَوْ عَلَى سَفَرٍ أَوْ جَاءَ أَحَدٌ مِنْكُمْ مِنَ الْغَائِطِ أَوْ لامَسْتُمُ النِّسَاءَ فَلَمْ تَجِدُوا مَاءً فَتَيَمَّمُوا صَعِيدًا طَيِّبًا فَامْسَحُوا بِوُجُوهِكُمْ وَأَيْدِيكُمْ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَفُوًّا غَفُورًا


BACAAN QIRAAT

Bacaan pertama yang diriwayatkan oleh jumhur qurra' iaitu Imam Nafi, Ibnu Kathir, Abu `Amr, Ibnu `Amir, `Asim, Abu Ja'far dan Ya`qub al-Hadhrami; dengan mengisbatkan alif ( لامَسْتُم ).

Bacaan kedua yang diriwayatkan oleh Imam Hamzah, al-Kisa'ei dan Khalaf al-`Asyir; dengan menghazafkan alif ( لمَسْتُم ).

MAKNA DI SEBALIK PERBEZAAN QIRAAT

Bacaan pertama dengan isbat alif ( لامَسْتُم ) membawa maksud al-Mulamasah mengikut wazan al-Mufa`alah yang memberi makna kinayah atau sindiran kepada makna jima' di mana ia menunjukkan perbuatan ini saling berlaku antara dua pihak. Kita akan dapat melihat uslub kinayah ini di dalam al-Quran khasnya apabila menerangkan perihal hubungan suami isteri seperti ayat 223 Surah al-Baqarah. Di sini al-Quran memperlihatkan kepada kita ketinggian akhlak dan adab yang baik. Imam al-Alusi dalam tafsirnya Ruuh al-Ma`ani telah menakalkan kalam Ibnu `Abbas sebagai berkata; Sesungguhnya Allah Maha Mulia telah mengkinayahkan berkenaan jima' dengan kalimah .( االرفث ، الملامسة المباشرة ، التغشي ، الإفضاء )

Adapun bacaan kedua dengan membuang alif ( لمَسْتُم ), ia mengandungi dua makna. Pertama; segala jenis sentuhan melainkan jima' seperti memegang, meraba, mencium dan lain-lain yang seerti dengannya. Kedua; ia juga memberi makna jima'.

KESAN PERBEZAAN QIRAAT TERHADAP FIQH

Telah berlaku khilaf di kalangan fuqaha' berkenaan hukum wudhu' adakah ianya terbatal sekiranya menyentuh kulit perempuan. Punca perselisihan ini adalah daripada perbezaan bacaan qiraat mutawatir pada ayat di atas. Berikut secara ringkas pandangan ulama dalam hal ini;

1) Pandangan Imam Abu Hanifah

Di sisi beliau, perbuatan lelaki menyentuh perempuan tidak sekali-kali membatalkan wudhu' sama ada sentuhan itu disertai dengan syahwat atau pun tidak dan sama ada sentuhan itu terhadap perempuan ajnabi atau pun mahram.

2) Pandangan Imam Malik dan Imam Ahmad

Di sisi mereka pula, sentuhan lelaki terhadap perempuan akan membatalkan wudhu' sekiranya sentuhan itu disertai syahwat. Sekiranya sentuhan itu tidak mengandungi syahwat maka ia tidak membatalkan wudhu'.

3) Pandangan Imam as-Syafi`ei

Di sisi beliau pula, sentuhan lelaki terhadap perempuan tanpa berlapik akan membatalkan wudhu' tanpa mengira ia disertai syahwat atau pun tidak. Akan tetapi hukum ini terkecuali sentuhan kepada mahram.

ASAS KHILAF DI KALANGAN FUQAHA'

Perselisihan pendapat di kalangan fuqaha berdasarkan bacaan qiraat pada kalimah ( لامَسْتُم ) dapat dilihat daripada beberapa aspek seperti berikut;

1) Aspek perbezaan qiraat mutawatir pada kalimah ( لامَسْتُم ) itu sendiri.

Terdapat 2 bacaan qiraat pada kalimah ini iaitu; qasr dan mad atau dengan istilah lain; hazaf dan isbat.

Bacaan secara qasr atau hazaf memberi makna bahawa sentuhan samada tangan, sentuhan kulit atau ciuman akan membatalkan wudhu'. Sentuhan ini juga hanya berlaku dari satu pihak.

Bacaan secara mad atau isbat pula memberi makna jima' kerana ia disifatkan sebagai perbuatan saling sentuh menyentuh antara dua pihak. Oleh itu, perbuatan selain jima' yang bersifat sentuhan tidak akan membatalkan wudhu' selagi mana tidak keluar air mani yang mewajibkan mandi dan wudhu'.

(اللمس ) 2) Aspek " Isytirak Lafzi " pada makna

Makna hakikat bagi ( al-Lams ) ialah perbuatan melekapkan tangan pada sesuatu dengan tujuan menyentuh. Adapun makna kinayah bagi kalimah ini pula ialah jima'. Seperti mana yang telah dijelaskan sebelum ini, uslub kinayah ini merupakan di antara sekian banyak uslub al-Quran yang memperlihatkan adab dan akhlak khasnya apabila memperkatakan sesuatu yang ada hubungkait dengan perempuan.

Oleh itu, al-Quran tidak secara terang-terangan menggunakan lafaz jima' tetapi memadai dengan lafaz ( al-Lams ) ini. Bahkan realiti bangsa Arab sering menggunakan uslub hakikat (makna hakiki), majaz dan kinayah dalam pertuturan mereka. Kadangkala mereka menggunakan kalimah ( al-Lams ) untuk menunjukkan perbuatan menyentuh dngan tangan, manakala di waktu yang lain mereka menggunakannya sebagai kinayah kepada jima'.

Akibat daripada penggunaan ini baik di dalam al-Quran atau pertuturan bangsa Arab, maka berlakulah khilaf di kalangan ulama terhadap hukum ini;

1) Mazhab Hanafi : Sentuhan yang mewajibkan wudhu' adalah sentuhan yang bermaksud jima' sahaja.

2) Mazhab Syafi`ei : Sentuhan yang mewajibkan wudhu' adalah sentuhan yang bermaksud dengan tangan atau kulit. Mereka berdalilkan makna zahir (hakiki) pada ayat tersebut.

3) Mazhab Maliki, Hanbali dan yang sepakat dengan mereka : Sentuhan yang mewajibkan wudhu' adalah sentuhan tangan yang disertai syahwat. Ini disebabkan kerana mereka memandang dari sudut ayat umum yang telah dikhususkan maka mereka mensyaratkan adanya syahwat.

4) Mazhab Ibnu Hazm az-Zohiri : Sentuhan yang mewajibkan wudhu' adalah sentuhan tangan tanpa disertai syahwat. Tetapi sentuhan ini umum terhadap mana-mana perempuan samada mahram atau ajnabi, tua atau muda. Ini disebabkan kerana mereka memandang dari sudut ayat umum yang tetap kekal umum tanpa dikhususkan.

Kesimpulan khilaf ini ialah adakah lafaz yang berdasarkan bacaan hazaf ( al-Lams ) ini membawa makna hakiki iaitu sentuhan tangan atau makna kinayah ? Adakah jima' pula boleh dikira sebagai makna hakiki berdasarkan bacaan isbat ? Oleh itu, ia berkisar antara makna hakiki, majaz dan kinayah.

3) Aspek pada umumnya berlaku bertentangan antara ayat wudhu' dengan beberapa hadis Nabi SAW.

Di sini seolah-seolah secara zahirnya berlaku bersalahan antara makna umum ayat wudhu' dengan hadis Nabi SAW yang terbukti sabit atau sahih dari baginda seperti peristiwa Saidatina `Aisyah memegang kaki Nabi SAW ketika baginda sedang sujud dalam solat di mana baginda mungkin tidak memperbaharui wudhu'nya.

Contoh hadis itu seperti yang diriwayatkan oleh Imam Muslim (Kitab Solat; Bab apa yang mesti dibaca ketika ruku' dan sujud, hadis no 222/486), Imam at-Turmuzi (Kitab Doa-doa; bab 76, hadis no 3493 ) dan Imam al-Baihaqi (Kitab Toharah; Bab apa yang datang pada orang yang disentuh) :

روي عن عائشة رضي الله عنها – قالت : فقدت رسول الله صلى الله عليه وسلم ليلة من الفراش فالتمسته فوقعت يدي على بطن قدميه وهو في المسجد وهما منصوبتان وهو يقول : اللهم إني أعوذ برضاك من سخطك وبمعافاتك من عقوبتك وأعوذ بك منك لا أحصي ثناء عليك أنت كما أثنبت على نفسك

Antara hadis lain ialah seperti diriwayatkan oleh Imam an-Nasa'ie (Bab batal wudhu' dengan sebab sentuhan lelaki terhadap perempuan tanpa syahwat berdasarkan sanad al-Qosim dari `Aisyah) :

روي عن عائشة رضي الله عنها – قالت : كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يصلي وأنا معترضة بين يديه اعتراض الجنازة حتى إذا أراد أن يوتر مسني برجله

Oleh itu sebahagian ulama telah menjadikan hadis-hadis sahih ini sebagai dalil untuk menguatkan pandangan mereka berkenaan hukum wudhu' di samping hujah mereka dari al-Quran berdasarkan bacaan qiraat yang mutawatir pada ayat wudhu' di atas.

TARJIH KE ATAS KHILAF YANG ADA

Berdasarkan perbincangan di atas, jelas kepada kita bahawa kedua-dua bacaan qiraat mutawatir (bacaan isbat dan hazaf) pada kalimah ( لامَسْتُم ) pada ayat 43 Surah al-Nisaa serta ayat 6 Surah al-Maidah membawa kepada dua hukum syarak yang berbeza seperti yang diistinbatkan oleh ulama fiqh dalam mazhab mereka berkenaan hukum wudhu'.

Oleh itu, sebahagian ulama telah mentarjih atau memilih pandangan yang menyatakan bahawa sentuhan lelaki terhadap perempuan tanpa syahwat tidak membatalkan wudhu', manakala sentuhan yang disertai syahwat akan membatalkan wudhu'. Pandangan ini merupakan pandangan yang paling sederhana dan paling dekat dengan manhaj Islam iaitu " at-Taisir ". Pandangan ini juga telah mengambil pendekatan menggabungkan kedua-dua qiraat mutawatir tanpa meninggalkan salah satu daripadanya. Di samping itu, ia juga merupakan pandangan jumhur ulama seperti yang dinyatakan oleh Ketua Ikatan Ulama Syam; Doktor Wahbah az-Zuhayli dalam kitabnya al-Wajiiz Fi al-Fiqh al-Islami.

والله تعالى أعلى وأعلم

Sumber Rujukan:

1) Al-Quran al-Karim

2) Muhadharat Fi Taujih al-Qiraat (Nota kuliah tahun satu); Dr. Abdul Karim Ibrahim Soleh. Pensyarah Bahagian Tafsir Kuliah Al-Quran & Al-Qiraat Al-Azhar Tanta

3) Syarah Bidayah al-Mujtahid Wa Nihayah al-Muqtasid; Dr. Abdullah al-`Abadi. Cetakan Darus Salam Kaherah.

4) Al-Wajiiz Fi Al-Fiqh Al-Islami; Dr. Wahbah az-Zuhayli. Cetakan Darul Fikr Beirut.



4 comments:

Anonymous said...

assalamualaikum...seelok2nya pendapat imam syafei diutamakn dan tidak perlulah di tunjukkan pendapat mazhab lain sekiranya pendapat imam syafei msih lg kita tunggang langgang dlm mempelajarinya kerana mngkin kita fhm dan dapat menguasainya,ttp cba pkir org lain iaitu org awam yg xblajar agma?org awam ni xsmtinya mcm msia,dlm kes mnntut ilmu perinkat org awam diberikan kepada org yg xmngaji ilmu agama,mnakala yg mngaji ilmu agama dipnggil ulama',jd pkir la kesan yg akn kita hdapi nnt sekiranya org jahil slah fhm trhdap ape yg kita smpaikan mlalui ucapan kita mlalui tulisan atau prcakapan,lainlah blog kita ni utk org yg mngaji agama shaja?ape akn jd klo org yg xbalajar agma brpgg kpada pndpat mazhab lain jga?mngkin kecelaruan dlm bermazhab akn terjadi kan?ikhlas dr ana,kalo ade salah kita sama2 baiki sb ana pon xpndai sgt,ape pndpat enta ttg komen ana?

Abu Huzaifah said...

Wa `alaikumussalam wa rahmatullah..

Jazakumullah atas pandangan yang diberikan. Secara umumnya, ana dapat memahami apa yang saudara/ri maksudkan.

Sebagai makluman, artikel ini merupakan kesinambungan daripada artikel sebelum ini yang membincangkan sebahagian perincian dalam ilmu qiraat iaitu 'Taujih Qiraat'. Ia memberi maklumat berkenaan hubungan antara ilmu qiraat dengan ilmu fiqh yang secara tidak langsung menonjolkan peranan ulama qiraat @ qurra' dan fuqaha dalam memahami nas al-Quran. Artikel ini merupakan sebahagian daripada beberapa contoh untuk menjelaskan pendekatan fuqaha dalam memahami nas ayat-ayat hukum yang datang dalam pelbagai bentuk qiraat yang mutawatir.

Sebenarnya, artikel ini ditujukan secara khas (atas permintaan) kepada beberapa sahabat saya di Maahad Qiraat Al-Azhar Shoubra (Mesir) dan para pelajar takhassus qiraat di tempat-tempat lain yang inginkan penjelasan yang lebih berkenaan ilmu taujih qiraat dalam bidang al-Quran dan al-Qiraat. Ini dinyatakan dengan jelas dalam artikel sebelum ini.

Mungkin disebabkan kelemahan saya di dalam mengolah atau menyusun artikel ini telah menimbulkan salah faham di pihak saudara/ri. Tambahan pula, saya masih lagi tidak berkesempatan untuk menambah penerangan atau kesimpulan berkenaan tajuk ini.

Bagaimanapun ia memberi pengalaman kepada saya tentang tahap kefahaman masyarakat Malaysia terhadap ilmu Qiraat dan cabang-cabangnya yang saya rasakan agak asing di negara kita samada dari sudut ilmu ini atau mereka yang mahir @ pakar @ ulama/qurra di dalamnya.

Sekiranya saudara/ri berminat untuk mendapatkan maklumat berkenaan ilmu qiraat, saya boleh bantu. Sebagai permulaannya, mungkin melalui e-mail atau respon saudara/ri di dalam artikel seterusnya.

Wallahu a'lam...

Selamat berkenalan...

Anonymous said...

tahniah atas usaha menulis dalam memberi zakat ilmu yang dipelajari.

Berzakat membawa berkat !

zunnun ad dusuqy al muhammady

herizal alwi said...

Assalamualaikum

Izin share