Saturday, August 05, 2006

Hizbullah : Apa Sikap Kita?

Oleh: Maszlee Malik

Lewat isu nuklear Iran dan juga peperangan Zionis-Hizbullah, timbul satu fenomena di Malaysia. Terdapat dua golongan yang saling bertentangan di dalam menyikapi isu ini. Di satu pihak, wujud golongan yang mengambil peluang isu ini untuk mempromosikan Syiah dan ideologi revolusi Iran. Di sudut yang bertentangan pula, wujud golongan yang menentang Syiah dan menyatakan kebimbangan mereka mengenai tersebarnya ideologi Syiah kerana isu tersebut.

Pihak yang giat mempromosikan ideologi Syiah telah berhujahkan kehebatan dan ketegasan Iran berhubung isu nuklear. Mereka juga bagaikan mendapat bonus apabila Hizbullah dengan beraninya menyerang konvoi tentera Zionis yang telah menyebabkan peperangan ke atas Lubnan. Menurut mereka, apa yang dilakukan oleh Hizbullah itu menunjukkan betapa hebatnya prinsip dan aqidah Syiah. Tidak ketinggalan, di mana-mana demo dianjurkan, pastinya ada sahaja gambar-gambar pemimpin Syiah Iran dan Hizbullah akan dijulang. T-shirt Hizbullah juga dipakai dengan bangganya oleh para pemuda dari golongan ini. Di mailing list-mailing list dan blog-blog juga terdapat artikel-artikel yang memuji Syiah, mempromosikan mereka dan cuba untuk menyeru ke arah Syiah dan ideologi revolusi.

Pihak ini juga telah menggunakan peluang yang ada untuk menghentam para pengkritik Syiah, terutamanya golongan Salafi. Pendirian kerajaan Saudi yang pro-AS dan juga fatwa mufti Saudi yang terlalu kontreversi juga telah digunakan sebagai peluang untuk menghentam golongan Salafi. Bagi mereka, bukan hanya kerajaan Saudi, malah seluruh pejuang Islam yang berfahaman Salafi adalah agen Yahudi, agen AS dan juga ada yang terus mengkafirkannya. Mungkin golongan ini terlupakan Usamah Ben Laden dan al-Qaeda serta para mujahidin di Checnya, Kashmir dan di Iraq yang merupakan golongan berfahaman Salafi jalur keras. Mereka juga mungkin tidak perasankan HAMAS yang merupakan cabang Ikhwan al-Muslimin di Palestin. Ikhwan telah dikenali di seluruh dunia sebagai gerakan yang mengambil aqidah "Salafiyyah" sebagai aqidah mereka. Mungkin juga Dr Yusuf al-Qaradawi tercicir dari senarai mereka. Al-Qaradawi adalah seorang yang beraqidahkan salafiyyah, malah tulisan beliau mengenai Syirik, bid'ah dan juga aqidah jelas menunjukkan pegangannya yang bersumberkan ajaran Ibn Taimiyyah dan Muhammad bin Abdul Wahab.

Di satu sudut pula, ada golongan yang bulat-bulat menerima fatwa mufti Saudi. Berbekalkan kenyataan-kenyataan Abu Mus'ab al-Zarqawi di Iraq, mufti tersebut telah menyama ratakan semua golongan Syiah di muka bumi ini. Jika hukuman yang diberikan ke atas golongan Syiah itu berkaitan dengan aqidah, majoriti akan bersetuju. Malangnya, situasi di Lubnan sekarang adalah isu politik. Isu politik harus ditafsirkan dan ditanggani dengan menggunakan neraca politik. Di dalam pertimbangan politik, bukannya aqidah dan juga pegangan yang menjadi ukuran, tetapi maslahah (keuntungan) dan mafsadah (kerugian). Umat Islam haruslah mengutamakan maslahah (keuntungan) yang lebih besar kepada umat secara keseluruhan dan mengelakkan mafsadah (mudarat) daripada umat. Begitu juga di waktu peperangan. Rakan kita, bukanlah hanya mereka yang seaqidah, tetapi siapakah yang dapat memberikan manfaat kepada umat. Rakan kita di waktu peperangan juga, ialah sesiapa yang sedang menentang musuh kita. Bak kata pepatah Inggeris "The enemy of my enemy is my friend". Jikalaulah yang dapat bersama untuk menyelamatkan maslahah umat Islam itu bukan Islam sekalipun, kita wajib bersama mereka. Apatah lagi, jika yang dapat bersama kita untuk menentang musuh bersama itu di kalangan umat Islam sendiri.

Bahasa Politik

Di dalam isu perang Zionis ke atas Lubnan, sewajarnya isu aqidah ini tidak timbul. Isu ini haruslah disikapi dengan penuh kematangan dan dengan penuh strategi. Isu pokoknya adalah isu Palestin. Apa yang dilakukan oleh Hizbullah adalah bertujuan untuk membantu rakyat Palestin yang telah ditekan dan diganasi oleh rejim Zionis semenjak kemenangan HAMAS di dalam pilihanraya Majlis Legaslatif yang lalu. Hizbullah pula, sememangnya telah berjanji dengan HAMAS untuk sama-sama saling membantu di dalam menentang rejim Zionis. Jasa mereka harus diberikan kredit. Begitu juga dengan Iran yang merupakan bapa kepada Hizbullah. Pendirian-pendirian mereka berhubung isu Palestin tidak boleh dipandang remeh. Jika dibandingkan dengan lain-lain negara anggota OIC, Iran lebih ke hadapan selepas Qatar, Syria dan Yemen. Di dalam isu ini, biarlah bahasa politik yang kita gunakan dan bukannya bahasa "agama" atau "aqidah".

Bukanlah saya bermaksud untuk menjadi sekular, tetapi kebijaksanaan umat Islam untuk berpolitik itu perlu. Umat Islam harus berusaha mengurangkan musuh dan bersikap fokus. Maslahah umat Islam yang lebih besar harus didahulukan. Di dalam politik, usaha membanyakkan rakan dan mengurangkan musuh amat perlu. Bila rakan kita ramai, risiko ke atas umat akan kurang, berbanding jika kita mempunyai terlalu ramai musuh. Sama juga seperti isu Palestin. Seharusnya umat Islam menjadikan isu Palestin ini sebagai ruang untuk mencari kekuatan. Isu ini sepatutnya dijadikan ruang untuk kita bertemu dan bersatu untuk menentang Zionis. Bukan hanya sekadar Syiah-Sunnah, malah juga mazhab-mazhab dalam Islam seperti Ibadhiyyah, Zaiidiyyah, malah dengan Kristian yang bersimpati dengan kita sekalipun kita sepatutnya bersatu. Seharusnya kita berusaha meramaikan rakan di dalam kem menentang Zionis dan berusaha megurangkan musuh. Inilah usaha yang dilakukan oleh al-Quds Institute di dalam mempertahankan Masjid al-Aqsa. Bukan hanya sekadar wakil dari Syiah juga turut menganggotai institut ini, malah wakil-wakil Kristian juga ada di dalamnya. Mungkin pengalaman Salahudin mengambil Kristian-kristian Arab untuk bersama menentang tentera Salib boleh dijadikan contoh.

Walau bagaimanapun ini bukanlah bermaksud kita perlu mengakui kebenaran aqidah Syiah. Mana mungkin kita mengiktiraf kebenaran aqidah mereka yang menuduh Aisyah berzina, mana mungkin kita bersetuju dengan aqidah orang-orang yang mengkafirkan sahabat, menghina isteri-isteri Rasul, menolak hadis-hadis kita dan juga menganggap ahli sunnah sebagai penghuni neraka?

Di dalam persoalan aqidah kita wajib tegas. Kita wajib mempertahankan aqidah kita. Namun, di dalam isu politik dan peperangan, bahasanya lain. Maka kita mempunyai pndirian yang tegas. Apa yang berlaku tidak akan sekali-kali menyebabkan kita terpengaruh dengan aqidah Syiah. Apa yang berlaku juga sekali-kali tidak akan membuatkan kita termakan dengan taqiyah dan juga penyelewengan aqidah mereka. Kita katakan "YES Hizbullah, but NO Syiah!", atau "YES Hizbullah but NO Aqidah Syiah!"

Lubnan bukan Iraq dan Pakistan

Golongan yang tidak dapat menyokong Hizbullah dan bersimpati terhadap mereka kebanyakannya tidak dapat melupakan jenayah-jenayah golongan Syiah di Iraq dan Pakistan. Memang benar, di Pakistan dan Iraq hatta di Iran, hubungan Sunni-Syiah amat tegang. Syiah di Pakistan adalah minoriti yang berusaha memastikan survival mereka dan bersikap agresif untuk memastikan kewujudan mereka di bumi itu. Pertumpahan darah di dalam pertembungan kedua-dua golongan adalah sesuatu yang biasa di sana. Begitu juga di Iraq. Hubungan Sunni-Syiah, (terutamanya pasca penjajahan AS) semakin tegang. Usaha golongan Syiah untuk menguasai Iraq bukan lagi rahsia. Mereka sanggup membunuh, bersekongkol dengan AS dan juga melakukan tipu daya demi memastikan matlamat mereka dicapai. Keadaan di sana telah berjaya menarik perhatian Dr Yusuf al-Qaradawi untuk masuk campur dan memberikan amaran kepada golongan Syiah di Iraq.

Walau bagaimanapun suasana di Lubnan agak berbeza. Walaupun Hizbullah merupakan wakil Syiah di Lubnan bersama gerakan Amal, namun survival mereka di sana berbeza. Syiah di Lubnan terpaksa bersatu dengan ahli Sunnah demi memastikan survival mereka. Lubnan yang didominasi golongan Kristian telah memaksa komuniti muslim tidak berperang sesama sendiri. Fenomena ini walaupun wujud hanya selepas berakhirnya peperangan saudara (1975-1990), namun ianya dapat bertahan sehingga kini. Kepahitan peperangan saudara telah menyaksikan bagaimana setiap golongan berjuang untuk mempertahankan kewujudan masing-masing. Perstiwa itu telah menjadi peristiwa hitam yang tidak mahu diingati lagi oleh sesiapa pun di Lubnan. Di atas dasar inilah, Perdana Menteri Lubnan, Fuad Siniora tetap bertegas untuk menyokong Hizbullah di dalam mempertahankan negara mereka dari serangan Zionis. Beliau dan juga pemimpin-pemimpin bukan Syiah di Lubnan tetap bertegas untuk tidak mengikut telunjuk Zionis yang memaksa mereka untuk menentang Hizbullah.

Secara tegas, para pemimpin Lubnan menyatakan bahawa mereka tidak akan mengulangi peperangan saudara seperti yang pernah mereka tempuhi dahulu. Serangan Zionis ke atas Lubnan, adalah serangan ke atas rakyat Lubnan dan bukannya serangan ke atas Hizbullah semata-mata. Mereka bersepakat di dalam hal ini. Sekali lagi, faktor politik membawa sikap yang berbeza di dalam kehidupan. Di Lubnan, aqidah bukan isunya lagi, tetapi survival kelompok dan juga keamanan bersama adalah agenda utama setiap golongan. Hal in berbeza dengan suasana di Iraq dan Pakistan, hatta di Iran sekalipun.

Hizbullah dan HAMAS

Berkaitan isu Palestin pula, pendirian Hizbullah patut diberikan kredit. Bukan kerana mereka Syiah, tetapi kerana komitmen mereka. Jika Iran dikaitkan sebagai penyebab utama munculnya Hizbullah, kita juga tidak boleh melupakan peranan rakyat Palestin sendiri. Sebelum kemunculan Hizbullah, dan sebelum ideologi revolusi Iran diekspot ke Lubnan, kelompok Syiah yang berjuang menentang Zionis kebanyakannya berpayungkan perjuangan PLO dan sosialis. Di bawah payung PLO jugalah mereka telah dilatih dan dilibatkan untuk menentang penjajahan Zionis di selatan Lubnan. Setelah kemunculan Hizbullah, kebanyakan para komando dan pejuang Syiah ini telah menyertai Hizbullah. Kebanyakan mereka menyertai Hizbullah kerana PLO telah dihalau keluar daripada Lubnan pasca perjanjian Philip Habib dengan para pemimpin Lubnan pada tahun 1982. Di atas dasar inilah, Hizbullah dan perjuangan rakyat Palestin mempunyai hubungan yang sentimental. Mereka tidak akan melupakan rakyat Palestin yang telah memperkenalkan mereka kepada perjuangan dan jihad.

Kemunculan HAMAS yang membawa ideologi Islam juga telah mencorakkan warna yang baru kepada perhubungan Hizbullah-Palestin. HAMAS yang mewakili perjuangan Islam Ahli Sunnah menentang Zionis telah bersetuju dengan Hizbullah yang mewakili perjuangan Islam Syiah di dalam jihad mereka. Musuh mereka yang satu perlu ditentang bersama. Bak kata pepatah Sudan "dua tangan akan melontar lebih jauh daripada satu tangan sahaja". Kewujudan HAMAS di Lubnan sekarang ini pun mempunyai kaitannya dengan Hizbullah. Keselamatan wakil HAMAS di Lubnan, seperti Usamah Hamdan, Muhammad Nazal dan lain-lain juga berhubung rapat dengan kekuatan Hizbullah. Tanpa kekuatan Hizbullah di Lubnan, kemungkinan besar mereka telah diusir atau telah lama dibunuh oleh golongan Zionis. Hal ini telah diketahui oleh dunia, malah oleh rejim Zionis sendiri. Namun, ini tidak menjadikan pula para anggota HAMAS bersimpati dengan aqidah Syiah dan menjadi Syiah. Di dalam literas-literasi aqidah Ikhwan, tetap menyenaraikan Syiah sebagai golongan yang rosak aqidahnya. Sikap seperti inilah yang sepatutnya kita ambil.

Hanya Syiah boleh mengusir Israel

"Hanya Syiah sahaja yang mampu untuk mengusir Israel!", Slogan inilah yang selalu dicanangkan oleh sesetengah pihak yang mempromosikan ideologi Syiah. Keupayaan Hizbullah menghalau tentera Zionis dari selatan Lubnan pada Mei 2000 telah dijadikan dalil yang paling sahih di dalam membela Syiah. Bagi para pendengar yang mengikut sahaja tanpa berfikir dan mengkaji, fakta ini akan diterimanya bulat-bulat. Akhirnya terdetik di dalam hati, Syiah sahajalah yang betul dan paling layak untuk mengalahkan musuh Islam. Adakah ini benar?

Ya, memang Hizbullah telah berjaya mengusir tentera rejim Zionis dari selatan Lubnan, tetapi mereka bukanlah satu-satunya kuasa yang dapat mengalahkan Zionis. Cukuplah Salahuddin al-Ayubi sebagai bukti. Beliau bukanlah seorang Syiah, tetapi ahli Sunnah. Malah, sebelum beliau melancarkan kempen perang ke atas tentera Salib, beliau terlebih dahulu membersihkan bumi Mesir daripada golongan Syiah Fatimiyin. Syiah Fatimiyah telah bertindak menikam umat Islam daripada belakang ketika mereka sedang bertempur dengan tentera Salib. Di atas dasar itulah, Salahudin terlebih dahulu menumpukan usaha menghapuskan Syiah Fatimiyah sebelum berjihad menentang tentera Salib. Kesimpulannya, Ahli Sunnah mampu untuk mempertahankan Palestin dan Masjid al-Aqsa.

Adakah kita terlupakan peperangan Arab-Zionis pada tahun-tahun 1947-1948. Lupakah kita terhadap kemenangan tentera-tentera sukarelawan Mesir dan Syria dari kalangan anggota gerakan Ikhwan al-Muslimin? Mereka hampir sahaja berjaya menghapuskan terus kekuatan penganas-penganas Zionis. Jika tidak kerana campurtangan British dan pemimpin-pemimpin Arab yang korup dan pengkhianat, sudah tentu Israel tidak akan wujud. Kesimpulannya, ahli Sunnah juga pernah mengalahkan Zionis.

Lupakah juga kita kepada peperangan 1973?, kehebatan tentera Mesir mengalahkan rejim Zionis sehingga memaksa Zionis menggunakan pengaruh mereka terhadap Anwar Sadat, presiden Mesir pada waktu tersebut. Sadat telah mengkhianati rakyat Mesir melalui Camp David 1978. Walaupun Mesir telah mendapatkan semula Sinai, tetapi mereka terpaksa melupakan isu Palestin. Kesimpulannya, Ahli Sunnah juga pernah mengalahkan tentera Zionis.

Lupakah juga kita kepada peperangan Karamah 1968 di Jordan? Tentera Zionis telah dikalahkan dengan teruk di dalam peperangan di antara mereka dengan tentera Jordan. Sehingga kini, kereta kebal Zionis yang telah berjaya ditawan oleh Jordan lewat peeprangan tersebut masih terdapat di kawasan al-Gahur, Jordan. Sehingga hari ini, pada setiap 21 Ogos setiap tahun, Jordan akan merayakan hari kemenangan tersebut. Sekali lagi, kesimpulannya, Ahli Sunnah juga pernah mengalahkan tentera Zionis.

Akhir sekali yang paling hampir dengan kita adalah pengunduran tentera Zionis beserta penduduk Yahudi dari Gaza secara keseluruhannya pada Ogos 2005. Bukankah itu merupakan satu kemenangan. "Indihar al-Suhyuniah" (Pengunduran Zionis) itu merupakan antara buah kejayaan gerakan Intifadah rakyat Palestin. HAMAS, Jihad Islami, briged Syuhada al-Aqsa milik Fatah dan juga lain-lain fraksi perjuangan berhak menerima kredit untuk tujuan tersebut. Bukankah mereka ahli sunnah?, sekali lagi, ahli sunnah juga mampu untuk mengalahkan Zionis. Bukan sekali, malah banyak kali, jauh lebih banyak daripada golongan Syiah!

Jika itu senario di Palestin, di tempat lain di serata dunia banyak lagi contoh yang boleh dibanggakan oleh Ahli Sunnah. Perang di Afghanistan sebagai contoh. Bukankah para mujahidin telah berjaya mengalahkan Rusia. Mereka bukannya puak Syiah. Syiah hanya datang selepas kemenangan untuk meluaskan pengaruh mereka di sana dan telah menyebabkan perang saudara meletus. Di Bosnia, para mujahidin "Salafi Jihadi" telah berjaya mengalahkan tentera Serbia. Mereka bukan Syiah. Di Checnya, para mujahidin "Salafi Jihadi" di sana juga bukan Syiah. Di Iraq juga, para mujahidin adalah dari kalangan ahli sunnah. Syiah pula telah melakukan pelbagai cara dan makar untuk menguasai Iraq, sehingga sanggup bekerjasama dengan AS.

Kesimpulannya, perjuangan jihad dan juga kemenangan tidak terletak pada Syiah atau tidaknya sesuatu kumpulan. Maka, adalah silap bagi mereka yang mempromosikan Syiah lewat isu Hizbullah ini!

Pendirian yang sepatutnya

Sebagai kesimpulan, bolehlah kita katakan, isu yang wujud sekarang ini wajib disikapi oleh umat Islam dengan bijaksana. Isu ini bukanlah hujah bagi promoter Syiah untuk mempromosikan aqidah dan ideologi mereka. Waktu ini juga bukanlah waktu untuk berbicara mengenai kesesatan aqidah Syiah. Kita berada di dalam suasana peperangan. Pendirian Dr Yusuf al-Qaradawi dan Majlis Ulama Islam Sedunia (International Union for Muslim Scholars) wajar dicontohi, walaupun beliau menyeru umat Islam di Lubnan untuk membantu Hizbullah menentang Zionis, tetapi beliau tetap memberikan amaran kepada Syiah di Iraq agar memberhentikan serangan ke atas Ahli Sunnah. Pendirian Jammat Islamiyyah di Lubnan pimpinan Ibrahim al-Masri, juga wajar dicontohi. Jamaat yang merupakan cawangan Ikhwan di Lubnan telah bersetuju mengerahkan kader-kader mereka untuk mengangkat senjata bersama Hizbullah menentang Zionis, tetapi di dalam literasi-literasi tarbiyah mereka tetap menyenaraikan aqidah Syiah sebagai aqidah yang batil dan sesat.

Akhir sekali, perbincangan yang tidak membuahkan amal bukanlah sesuatu yang menguntungkan. Di waktu kita sibuk di dalam mempromosikan Syiah, ataupun menghentam Syiah, ratusan kanak-kanak dan wanita terus menjadi mangsa kegilaan rejim Zionis. Tidak kiralah, anda pro-Hizbullah ataupun pro-HAMAS, yang penting apakah sumbangan anda di dalam isu ini?

Bukan hanya di Lubnan, malah di Gaza, di Tebing Barat, dan di Baitul Maqdis... kesemuanya memerlukan sokongan anda. Rakyat Palestin terus dilupakan walaupun sekatan ekonomi masih lagi dikenakan ke atas mereka. Rakyat Palestin di Gaza terus bergelapan, sekolah-sekolah telah hancur, kerajaan di bawah pimpinan HAMAS tetap ditekan, rakyat masih kelaparan. Sehingga kini, lima menteri kabinet Palestin masih lagi ditahan, 25 ahli parlimen masih lagi dikurung oleh Zionis, dan lebih 10,000 tahanan Palestin masih lagi terseksa di dalam tahanan Zionis. Masjid al-Aqsa masih lagi diancam. Sehingga kini, sudah sebulan umat Islam tidak dapat menunaikan solat Jumaat di Masjid al-Aqsa kerana dikepong oleh pegawai polis Zionis. Pada 3 Ogos 2006, sekumpulan ekstrimis Zionis telah dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi Zionis untuk memasuki kawasan Masjid al-Aqsa untuk melakukan upacara perayaan mereka.

Lakukan sesuatu. Hulurkan sumbangan anda. Bangunlah pada sepertiga malam terakhir untuk bermunajat kepada Allah agar memberikan kemenangan kepada umat Islam. Lakukanlah juga Qunut Nazilah menurut Sunnah Rasulullah SAW, boikot barangan Zionis, dan bantulah mereka sekadar yang anda mampu.

Jika anda masih lagi hendak membicarakan persoalan Sunnah-Syiah di dalam keadaan seperti ini, di manakah Fiqh Awlawiyat anda?

**Penulis merupakan ahli al-Quds Institute yang berpusat di Beirut, dan baru pulang dari Beirut seminggu sebelum bermulanya perang di Lubnan.

Sumber : al-ahkam.net