Friday, February 23, 2007

Taujih Fiqhi Siri 2

HUKUM WUDHU' BAGI YANG MENYENTUH PEREMPUAN

MUQADDIMAH

Dalam siri sebelum ini, secara ringkas para pembaca telah diterangkan berkenaan salah satu bentuk dalam disiplin ilmu taujih qiraat iaitu taujih fiqhi. Para pembaca juga dapat melihat secara umum berkenaan hubungan antara ilmu qiraat dan fiqh Islam serta manhaj fuqaha' ketika berhujah dengan ilmu qiraat. Pada kali ini penulis cuba membawa ke hadapan para pembaca contoh perbezaan qiraat pada ayat al-Quran yang menjadi dalil kepada para ulama fiqh bagi menetapkan atau mensabitkan mazhab mereka terhadap sesuatu hukum.

HUKUM WUDHU' BAGI YANG MENYENTUH PEREMPUAN

Para ulama fiqh telah berselisih pendapat berkenaan hukum wudhu' bagi lelaki yang menyentuh perempuan. Perbezaan ini berpunca daripada perbezaan qiraat yang terdapat pada kalimah ( لامَسْتُم ) pada ayat 43 Surah al-Nisaa serta ayat 6 Surah al-Maidah. Nas di dalam Surah al-Nisaa ialah;


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لا تَقْرَبُوا الصَّلاةَ وَأَنْتُمْ سُكَارَى حَتَّى تَعْلَمُوا مَا تَقُولُونَ وَلا جُنُبًا إِلا عَابِرِي سَبِيلٍ حَتَّى تَغْتَسِلُوا وَإِنْ كُنْتُمْ مَرْضَى أَوْ عَلَى سَفَرٍ أَوْ جَاءَ أَحَدٌ مِنْكُمْ مِنَ الْغَائِطِ أَوْ لامَسْتُمُ النِّسَاءَ فَلَمْ تَجِدُوا مَاءً فَتَيَمَّمُوا صَعِيدًا طَيِّبًا فَامْسَحُوا بِوُجُوهِكُمْ وَأَيْدِيكُمْ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَفُوًّا غَفُورًا


BACAAN QIRAAT

Bacaan pertama yang diriwayatkan oleh jumhur qurra' iaitu Imam Nafi, Ibnu Kathir, Abu `Amr, Ibnu `Amir, `Asim, Abu Ja'far dan Ya`qub al-Hadhrami; dengan mengisbatkan alif ( لامَسْتُم ).

Bacaan kedua yang diriwayatkan oleh Imam Hamzah, al-Kisa'ei dan Khalaf al-`Asyir; dengan menghazafkan alif ( لمَسْتُم ).

MAKNA DI SEBALIK PERBEZAAN QIRAAT

Bacaan pertama dengan isbat alif ( لامَسْتُم ) membawa maksud al-Mulamasah mengikut wazan al-Mufa`alah yang memberi makna kinayah atau sindiran kepada makna jima' di mana ia menunjukkan perbuatan ini saling berlaku antara dua pihak. Kita akan dapat melihat uslub kinayah ini di dalam al-Quran khasnya apabila menerangkan perihal hubungan suami isteri seperti ayat 223 Surah al-Baqarah. Di sini al-Quran memperlihatkan kepada kita ketinggian akhlak dan adab yang baik. Imam al-Alusi dalam tafsirnya Ruuh al-Ma`ani telah menakalkan kalam Ibnu `Abbas sebagai berkata; Sesungguhnya Allah Maha Mulia telah mengkinayahkan berkenaan jima' dengan kalimah .( االرفث ، الملامسة المباشرة ، التغشي ، الإفضاء )

Adapun bacaan kedua dengan membuang alif ( لمَسْتُم ), ia mengandungi dua makna. Pertama; segala jenis sentuhan melainkan jima' seperti memegang, meraba, mencium dan lain-lain yang seerti dengannya. Kedua; ia juga memberi makna jima'.

KESAN PERBEZAAN QIRAAT TERHADAP FIQH

Telah berlaku khilaf di kalangan fuqaha' berkenaan hukum wudhu' adakah ianya terbatal sekiranya menyentuh kulit perempuan. Punca perselisihan ini adalah daripada perbezaan bacaan qiraat mutawatir pada ayat di atas. Berikut secara ringkas pandangan ulama dalam hal ini;

1) Pandangan Imam Abu Hanifah

Di sisi beliau, perbuatan lelaki menyentuh perempuan tidak sekali-kali membatalkan wudhu' sama ada sentuhan itu disertai dengan syahwat atau pun tidak dan sama ada sentuhan itu terhadap perempuan ajnabi atau pun mahram.

2) Pandangan Imam Malik dan Imam Ahmad

Di sisi mereka pula, sentuhan lelaki terhadap perempuan akan membatalkan wudhu' sekiranya sentuhan itu disertai syahwat. Sekiranya sentuhan itu tidak mengandungi syahwat maka ia tidak membatalkan wudhu'.

3) Pandangan Imam as-Syafi`ei

Di sisi beliau pula, sentuhan lelaki terhadap perempuan tanpa berlapik akan membatalkan wudhu' tanpa mengira ia disertai syahwat atau pun tidak. Akan tetapi hukum ini terkecuali sentuhan kepada mahram.

ASAS KHILAF DI KALANGAN FUQAHA'

Perselisihan pendapat di kalangan fuqaha berdasarkan bacaan qiraat pada kalimah ( لامَسْتُم ) dapat dilihat daripada beberapa aspek seperti berikut;

1) Aspek perbezaan qiraat mutawatir pada kalimah ( لامَسْتُم ) itu sendiri.

Terdapat 2 bacaan qiraat pada kalimah ini iaitu; qasr dan mad atau dengan istilah lain; hazaf dan isbat.

Bacaan secara qasr atau hazaf memberi makna bahawa sentuhan samada tangan, sentuhan kulit atau ciuman akan membatalkan wudhu'. Sentuhan ini juga hanya berlaku dari satu pihak.

Bacaan secara mad atau isbat pula memberi makna jima' kerana ia disifatkan sebagai perbuatan saling sentuh menyentuh antara dua pihak. Oleh itu, perbuatan selain jima' yang bersifat sentuhan tidak akan membatalkan wudhu' selagi mana tidak keluar air mani yang mewajibkan mandi dan wudhu'.

(اللمس ) 2) Aspek " Isytirak Lafzi " pada makna

Makna hakikat bagi ( al-Lams ) ialah perbuatan melekapkan tangan pada sesuatu dengan tujuan menyentuh. Adapun makna kinayah bagi kalimah ini pula ialah jima'. Seperti mana yang telah dijelaskan sebelum ini, uslub kinayah ini merupakan di antara sekian banyak uslub al-Quran yang memperlihatkan adab dan akhlak khasnya apabila memperkatakan sesuatu yang ada hubungkait dengan perempuan.

Oleh itu, al-Quran tidak secara terang-terangan menggunakan lafaz jima' tetapi memadai dengan lafaz ( al-Lams ) ini. Bahkan realiti bangsa Arab sering menggunakan uslub hakikat (makna hakiki), majaz dan kinayah dalam pertuturan mereka. Kadangkala mereka menggunakan kalimah ( al-Lams ) untuk menunjukkan perbuatan menyentuh dngan tangan, manakala di waktu yang lain mereka menggunakannya sebagai kinayah kepada jima'.

Akibat daripada penggunaan ini baik di dalam al-Quran atau pertuturan bangsa Arab, maka berlakulah khilaf di kalangan ulama terhadap hukum ini;

1) Mazhab Hanafi : Sentuhan yang mewajibkan wudhu' adalah sentuhan yang bermaksud jima' sahaja.

2) Mazhab Syafi`ei : Sentuhan yang mewajibkan wudhu' adalah sentuhan yang bermaksud dengan tangan atau kulit. Mereka berdalilkan makna zahir (hakiki) pada ayat tersebut.

3) Mazhab Maliki, Hanbali dan yang sepakat dengan mereka : Sentuhan yang mewajibkan wudhu' adalah sentuhan tangan yang disertai syahwat. Ini disebabkan kerana mereka memandang dari sudut ayat umum yang telah dikhususkan maka mereka mensyaratkan adanya syahwat.

4) Mazhab Ibnu Hazm az-Zohiri : Sentuhan yang mewajibkan wudhu' adalah sentuhan tangan tanpa disertai syahwat. Tetapi sentuhan ini umum terhadap mana-mana perempuan samada mahram atau ajnabi, tua atau muda. Ini disebabkan kerana mereka memandang dari sudut ayat umum yang tetap kekal umum tanpa dikhususkan.

Kesimpulan khilaf ini ialah adakah lafaz yang berdasarkan bacaan hazaf ( al-Lams ) ini membawa makna hakiki iaitu sentuhan tangan atau makna kinayah ? Adakah jima' pula boleh dikira sebagai makna hakiki berdasarkan bacaan isbat ? Oleh itu, ia berkisar antara makna hakiki, majaz dan kinayah.

3) Aspek pada umumnya berlaku bertentangan antara ayat wudhu' dengan beberapa hadis Nabi SAW.

Di sini seolah-seolah secara zahirnya berlaku bersalahan antara makna umum ayat wudhu' dengan hadis Nabi SAW yang terbukti sabit atau sahih dari baginda seperti peristiwa Saidatina `Aisyah memegang kaki Nabi SAW ketika baginda sedang sujud dalam solat di mana baginda mungkin tidak memperbaharui wudhu'nya.

Contoh hadis itu seperti yang diriwayatkan oleh Imam Muslim (Kitab Solat; Bab apa yang mesti dibaca ketika ruku' dan sujud, hadis no 222/486), Imam at-Turmuzi (Kitab Doa-doa; bab 76, hadis no 3493 ) dan Imam al-Baihaqi (Kitab Toharah; Bab apa yang datang pada orang yang disentuh) :

روي عن عائشة رضي الله عنها – قالت : فقدت رسول الله صلى الله عليه وسلم ليلة من الفراش فالتمسته فوقعت يدي على بطن قدميه وهو في المسجد وهما منصوبتان وهو يقول : اللهم إني أعوذ برضاك من سخطك وبمعافاتك من عقوبتك وأعوذ بك منك لا أحصي ثناء عليك أنت كما أثنبت على نفسك

Antara hadis lain ialah seperti diriwayatkan oleh Imam an-Nasa'ie (Bab batal wudhu' dengan sebab sentuhan lelaki terhadap perempuan tanpa syahwat berdasarkan sanad al-Qosim dari `Aisyah) :

روي عن عائشة رضي الله عنها – قالت : كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يصلي وأنا معترضة بين يديه اعتراض الجنازة حتى إذا أراد أن يوتر مسني برجله

Oleh itu sebahagian ulama telah menjadikan hadis-hadis sahih ini sebagai dalil untuk menguatkan pandangan mereka berkenaan hukum wudhu' di samping hujah mereka dari al-Quran berdasarkan bacaan qiraat yang mutawatir pada ayat wudhu' di atas.

TARJIH KE ATAS KHILAF YANG ADA

Berdasarkan perbincangan di atas, jelas kepada kita bahawa kedua-dua bacaan qiraat mutawatir (bacaan isbat dan hazaf) pada kalimah ( لامَسْتُم ) pada ayat 43 Surah al-Nisaa serta ayat 6 Surah al-Maidah membawa kepada dua hukum syarak yang berbeza seperti yang diistinbatkan oleh ulama fiqh dalam mazhab mereka berkenaan hukum wudhu'.

Oleh itu, sebahagian ulama telah mentarjih atau memilih pandangan yang menyatakan bahawa sentuhan lelaki terhadap perempuan tanpa syahwat tidak membatalkan wudhu', manakala sentuhan yang disertai syahwat akan membatalkan wudhu'. Pandangan ini merupakan pandangan yang paling sederhana dan paling dekat dengan manhaj Islam iaitu " at-Taisir ". Pandangan ini juga telah mengambil pendekatan menggabungkan kedua-dua qiraat mutawatir tanpa meninggalkan salah satu daripadanya. Di samping itu, ia juga merupakan pandangan jumhur ulama seperti yang dinyatakan oleh Ketua Ikatan Ulama Syam; Doktor Wahbah az-Zuhayli dalam kitabnya al-Wajiiz Fi al-Fiqh al-Islami.

والله تعالى أعلى وأعلم

Sumber Rujukan:

1) Al-Quran al-Karim

2) Muhadharat Fi Taujih al-Qiraat (Nota kuliah tahun satu); Dr. Abdul Karim Ibrahim Soleh. Pensyarah Bahagian Tafsir Kuliah Al-Quran & Al-Qiraat Al-Azhar Tanta

3) Syarah Bidayah al-Mujtahid Wa Nihayah al-Muqtasid; Dr. Abdullah al-`Abadi. Cetakan Darus Salam Kaherah.

4) Al-Wajiiz Fi Al-Fiqh Al-Islami; Dr. Wahbah az-Zuhayli. Cetakan Darul Fikr Beirut.



Tuesday, February 20, 2007

Taujih Fiqhi Dalam Disiplin Ilmu Qiraat

SIRI PERTAMA

Muqaddimah

Pada permulaan wahyu, Nabi SAW amat menitikberatkan ajaran al-Quran. Para sahabat diberi galakan oleh baginda untuk membaca dan menghafaz ayat al-Quran sehingga melahirkan sejumlah generasi intelektual dan memadamkan buta huruf setelah diselubungi kegelapan jahiliah. Period dakwah di Makkah merupakan marhalah pembentukan aqidah, akhlak dan ruh. Marhalah ini juga dikenali sebagai “Marhalah Al-I’jaz” yang melemahkan bangsa Arab daripada menolak ajaran al-Quran serta membuktikan kebenaran risalah nubuwwah.

Al-Quran yang diturunkan dengan tujuh huruf ( الأحرف السبعة ) memberi kemudahan kepada umat Islam untuk membaca dan mengamalkan hukum-hakam yang terkandung di dalamnya. Penurunan al-Quran dengan tujuh huruf ini bermula pada period dakwah baginda di Madinah setelah dakwah Nabi SAW semakin meluas ke seluruh tanah Arab. Marhalah ini juga dikenali sebagai “Marhalah At-Tashil” yang membantu umat Arab mengenali al-Quran dan menghayatinya mengikut lahjah kabilah masing-masing.

Hasil galakan dan panduan daripada Nabi SAW, generasi sahabat sangat tekun mendalami al-Quran dengan seluruh wajah qiraat yang diturunkan. Setelah kewafatan baginda, para sahabat telah bertebaran di seluruh Semenanjung Tanah Arab sehingga melahirkan beberapa madrasah qiraat seperti Madani, Makki, Syami, Kufi dan Basri. Kemudian datang generasi selepasnya sehingga melahirkan tokoh-tokoh yang masyhur dalam bidang ini antaranya ialah sepuluh imam qurra’.

Setelah zaman berzaman ilmu qiraat semakin berkembang dengan kelahiran tokoh-tokoh dalam bidang ini seperti Imam as-Syatibi (wafat 590H), Imam Ibnu al-Jazari (wafat 833H) dan lain-lain. Para ulama juga telah membahaskan ilmu qiraat dalam pelbagai sudut untuk menambahkan kefahaman terhadap al-Quran seperti sejarah ilmu qiraat, taujih al-Qiraat al-Mutawatirah, taujih al-Qiraat as-Syazzah.

Apa Hikmah Khilaf Bacaan Qiraat ?

Selaku pelajar takhassus al-Quran, al-Qiraat serta ilmu-ilmu yang berkaitan dengannya, persoalan yang sering bermain di minda kita ialah apakah hikmah daripada perbezaan bacaan qiraat sedangkan sumbernya adalah satu iaitu al-Quran? Kenapa qiraat-qiraat ini ditulis dengan hanya satu wajah sahaja di dalam setiap mushaf? Apakah kesan atau peranan bacaan qiraat ini terhadap bahasa Arab samada sudut qawaid dan balaghahnya. Adakah bacaan qiraat ini memberi kesan langsung ke atas syariat seperti feqh dan aqidah?

Sebenarnya para ulama’ baik dahulu dan masa kini telah menulis berkenaan hikmah qiraat mutawatir dan kesannya terhadap rasm, bahasa Arab, fiqh. Cuma ianya ditulis secara umum ketika membahaskan ilmu-ilmu seperti bahasa Arab, tafsir, fiqh dengan membawa nas dari qiraat al-Quran sebagai dalil. Sangat sedikit kajian yang memfokuskan kesan bacaan qiraat terhadap bahasa Arab, fiqh dan sebagainya secara lebih kompleks dan menyeluruh. Apatah lagi jika kita ingin mendapatkan kajian dalam perkara ini yang diolah secara mudah, ringkas dan padat yang sesuai untuk tahap orang awam. Sedangkan kajian ini sangat penting bagi setiap muslim dalam aspek apa yang mesti mereka tahu berkenaan mushaf al-Quran dan bacaan al-Quran harian mereka yang mana mengandungi asas-asas tasyri’ dan hukum-hakam.

Taujih Fiqhi

Asas dalam memahami ilmu qiraat ini hingga dapat merasakan kemanisan al-Quran adalah mengetahui taujih dan kedudukan i’rab. Oleh kerana itu , para ulama’ telah berusaha mengkaji perkara ini dan menerangkan ‘illah dan makna-makna serta kesan yang terdiri dari aspek bahasa, fiqh, aqidah dan lain-lain. Maka lahirlah ulama’ yang membahas dari sudut taujih lughawi, balaghi, fiqhi, aqidi dan sebagainya. Semuanya merupakan sebahagian daripada i’jaz al-Quran.

Kali ini kita akan fokuskan kepada salah satu taujih qiraat iaitu taujih fiqhi yang merupakan sudut yang sangat penting di samping taujih lughawi dan lain-lain. Sebelum itu penulis akan menerangkan latar belakang hubungan antara qiraat dan tasyri’ Islami serta manhaj fuqaha’ ketika berhujah dengan qiraat.

Hubungan Antara Ilmu Qiraat Dan Fiqh Islam

Sesuatu yang diketahui umum bahawa ilmu-ilmu Islam saling berkaitan antara satu sama lain. Di antara ilmu-ilmu ini ialah ilmu qiraat dan fiqh Islam. Di sana terdapat hubungan yang sangat kuat antara ilmu qiraat dan ilmu fiqh. Hubungan antara dua disiplin ilmu ini dapat dilihat jika kita meneliti dan mentelaah sebahagian kitab-kitab tafsir yang lebih menjurus dalam perbahasan fiqh. Sebagai contohnya ialah al-Jami’ Li Ahkam al-Quran oleh Imam al-Qurthubi, Ahkam al-Quran oleh Ibnu al-`Arabi, Ahkam al-Quran oleh al-Jassos al-Hanafi dan Zaad al-Masiir Fi `Ilmi at-Tafsir oleh Imam al-Jauzi.

Kita akan dapati di dalam kitab-kitab ini para imam akan mendatangkan wajah-wajah qiraat ke atas ayat-ayat yang ingin diterangkan hukum-hukumnya kemudian akan menyandarkan pendapat fuqaha’ yang bersesuaian dengan khilaf atau wajah qiraat tersebut. Bahkan imam-imam tafsir yang lain juga melakukan perkara yang sama dalam hal ini seperti Imam al-Alusi dalam kitabnya Ruuh al-Ma`ani, Imam al-Baidhawi, Imam al-Fahr ar-Razi dan lain-lain.

Bacaan-bacaan qiraat ini juga disebut di dalam sebahagian kitab-kitab fiqh dan usul fiqh. Antaranya ialah Hasyiah al-Bujairimi `Ala al-Khatib dalam fiqh Syafi`i, Mafatiih al-Usul, Syarh al-Fiqh al-Akbar oleh al-Qari dan lain-lain. Bahkan sebenarnya hubungan antara ahli al-Ada’ (qurra’) dan fuqaha’ dapat diibaratkan sebagai hubungan adik-beradik yang sangat rapat, di mana ahli al-Ada’ atau qurra’ berperanan dalam mendhabitkan bacaan qiraat yang mutawatir serta menerangkan kaedah bacaan. Fuqaha’ pula berperanan dalam mengistinbat hukum-hukum yang bersesuaian dengan bacaan qiraat tadi untuk dijadikan dalil-dalil ke atas hukum syara’ serta mengistibat apa yang terdapat di dalam bacaan qiraat dari sudut fiqhiah.

Oleh itu, khilaf dalam bacaan qiraat memberi impak yang besar terhadap ilmu fiqh. Imam an-Nuwairi dalam kitabnya Syarh Toyyibah an-Nasyr menyatakan bahawa seorang faqih berhajat kepada qari, begitu juga sebaliknya seorang qari berhajat kepada faqih untuk mentaujihkan bacaan qiraatnya dan menerangkan hukum yang terhasil daripada khilaf qiraat tersebut. Ini semua menunjukkan kepada kita tentang hubungan yang saling berkaitan antara ilmu fiqh dan ilmu qiraat serta hubungan antara fuqaha’ dan qurra’.

Manhaj Fuqaha’ Ketika Berhujah Dengan Ilmu Qiraat

Sudah menjadi suatu yang thabit, bahawa semua bacaan qiraat al-Quran diturunkan oleh Allah kepada Nabi SAW dan ianya sampai kepada kita dengan jalan yang mutawatir. Semua ini menunjukkan bahawa al-Quran diturunkan dengan tujuh huruf ( الأحرف السبعة ). Setiap bacaan qiraat yang mutawatir tidak boleh dipertikai kesahihannya dan ia menjadi hujah dalam mengistinbatkan hukum-hukum. Walaupun di sana terdapat ayat yang tidak mempunyai khilaf qiraat dan ada yang mengandungi khilaf, ianya tidak boleh disangsikan kebenarannya kerana setiap apa yang sahih secara mutawatir dari Nabi SAW maka wajib menerima, beriman dengannya dan mengikuti (ittiba’) setiap apa yang terkandung di dalamnya samada ia bersifat i’tiqad atau pun amalan.

Oleh yang demikian, kita dapat melihat para ulama mengistinbat hukum-hukum daripada setiap qiraat yang terdapat di dalam setiap ayat. Maka jelas kepada kita bahawa qiraat menjadi hujah dan panduan fuqaha’ dalam mengistinbat hukum.

Apabila kita dapati terdapat lebih dari satu hukum yang datang daripada khilaf qiraat, maka kita hendaklah menerima kesemuanya sekali tanpa meninggalkan satu pun hukum yang terhasil daripada mana-mana qiraat. Kita juga tidak boleh menjadikan jumlah imam yang meriwayatkan sesuatu qiraat sebagai sebab untuk kita mentarjih mana-mana qiraat.

Terdapat dua keadaan di mana para fuqaha’ berbeza pendekatan mereka dalam mengistinbatkan hukum;

Pertama: Ayat yang mengandungi dua bacaan qiraat yang berlainan tetapi membawa hukum yang sama.

Dalam hal ini, para fuqaha’ mengambil jalan dengan menggabungkan kedua-dua bacaan qiraat tadi. Antaranya ialah terdapat qiraat yang berbeza wajah dilalahnya tetapi mengandungi hukum yang sama.

Contohnya pada kalimah ( تقاتلوهم ، يقاتلوكم ، قاتلوكم )di dalam ayat 191 Surah al-Baqarah terdapat dua bacaan qiraat yang mana hukumnya adalah sama tetapi wajah dilalahnya berlainan. Wajah dilalah yang pertama menunjukkan secara jelas akan nas ayat, manakala wajah dilalah yang kedua menunjukkan kepada isyarat atau peringatan ( الإشارة والتنبيه ).

1) Bacaan pertama yang diriwayatkan oleh Imam Hamzah, al-Kisa`ie dan Khalaf al-`Asyir; dengan menghazafkan huruf alif pada kalimah ( تقتلوهم ، يقتلوكم ، قتلوكم ) membawa maksud larangan membunuh ( القتل ).

2) Bacaan kedua pula diriwayatkan oleh Imam Nafi’, Ibnu Kathir, Abu `Amr, Ibnu `Amir, `Asim, Abu Ja`far dan Ya`qub al-Hadrami; dengan mengisbatkan huruf alif pada kalimah ( تقاتلوهم ، يقاتلوكم ، قاتلوكم ) membawa maksud isyarat atau peringatan agar menghidari perkara-perkara yang boleh membawa kepada pembunuhan ( القتال ) atas wazan al-mufa`alah yang mengandungi uslub mubalaghah.

Kedua-dua bacaan qiraat ini tetap membawa kepada hukum haram membunuh tanpa hak melainkan wajah kedua hanya menunjukkan uslub mubalaghah di mana jika unsur-unsur yang boleh membawa kepada membunuh (muqaddimah al-Qatl) hukumnya haram, apatah lagi hukum membunuh itu sendiri.

Kedua: Ayat yang mengandungi dua atau lebih bacaan qiraat yang berlainan dan membawa kepada dua atau lebih hukum yang berlainan antara satu sama lain.

Dalam keadaan ini, para ulama atau fuqaha’ mempunyai pendekatan yang berbeza.

Pendapat jumhur fuqaha’:

Jumhur ulama’ menyatakan wajib beramal dengan kedua-dua qiraat tersebut walaupun setiap qiraat membawa hukum yang berlainan. Tidak boleh menolak salah satu bacaan qiraat hanya disebabkan hukum yang berbeza kerana ia beerti menolak sebahagian al-Quran yang jelas thabit mutawatirnya. Bagi mereka, perbezaan dua qiraat di dalam satu ayat membawa maksud dua ayat. Dengan kata lain, sekiranya satu ayat mengandungi 3 qiraat, ini bermaksud ayat itu sebenarnya mengandungi 3 ayat yang berlainan, maka mereka akan menggabungkan qiraat-qiraat ini.

Imam az-Zarkasyi (wafat 794H) dalam kitabnya al-Burhan Fi Ulum al-Quran menyatakan para ulama’ lebih cenderung bahawa dua qiraat seperti dua ayat. Contohnya kalimah ( وأرجلكم ) di dalam ayat 6 Surah al-Maidah boleh dibaca dengan dua keadaan:

1) Bacaan secara al-Jarr ( وأرجلكم ) oleh Imam Ibnu Kathir, Abu `Amr, Syu’bah, Abu Ja`far, Hamzah dan Khalaf al-`Asyir. Bacaan ini membawa hukum memadai dengan menyapu air di atas khuf bagi yang memakainya ketika berwudhu’.

2) Bacaan secara al-Nasb ( وأرجلكم ) oleh Imam Ibnu `Amir, Nafi`, al-Kisa’ei, Hafs dan Ya`qub al-Hadhrami. Bacaan ini menerang hukum wajib membasuh kaki jika tidak memakai khuf ketika berwudhu’

Ayat di atas berkisar tentang hukum membasuh kaki ketika berwudhu’. Para ulama’ telah menggabungkan dua qiraat tersebut. Hukum wajib tetap sama melainkan kaifiat sahaja yang berbeza samada membasuh atau menyapu.

Imam as-Syaukani (wafat 1250H) di dalam Fath al-Qadiir juga menyokong pandangan bahawa dua qiraat seolah-olah bermaksud dua ayat.

Pendapat mazhab Hanafi:

Abu al-Hassan al-Kurkhi (wafat 340H) dan muridnya Abu Bakr al-Jassos (wafat 370H) yang merupakan dua tokoh besar mazhab Hanafi mempunyai pandangan yang berbeza daripada pandangan jumhur. Mereka menolak pandangan bahawa dua qiraat bermakna dua ayat. Abu al-Hasan al-Kurkhi berpandangan sekiranya demikian, maka perlu ditulis setiap wajah qiraat di setiap mushaf dan membacanya dengan semua khilaf yang ada. Sekiranya memilih untuk menulis dan membaca salah satu daripada qiraat-qiraat ini, ia beerti telah mengurangi sebahagian dari al-Quran. Sedangkan al-Quran tidak boleh dikurangi sedikit pun akan hak-haknya. Sedangkan penulisan mushaf al-Quran hanya meletakan satu wajah dalam setiap mushaf. Ini membuktikan dua qiraat tidak bermaksud dua ayat.

Abu Bakar al-Jassos juga mengambil pendekatan yang hampir sama dengan gurunya itu iaitu menolak pandangan jumhur. Beliau menyatakan walaupun perbezaan antara dua qiraat pada satu ayat membawa erti adanya dua ayat di situ, tetapi ayat yang pertama itu adalah muhkamat dan ayat yang kedua pula mutasyabihat. Ayat muhkamat di sisi beliau ialah bacaan qiraat yang hanya mengandungi satu makna. Manakala ayat mutasyabihat pula ialah qiraat yang mengandungi dua makna. Maka wajib meletakkan atau mendahulukan ayat yang muhkamat ke atas ayat mutasyabihat. Ini dapat dilihat apabila beliau mentatbiqkan manhajnya di dalan kitab tafsirnya Ahkam al-Quran.

Contohnya, terdapat dua bacaan qiraat pada kalimah ( لامستم ) di dalam ayat 43 Surah an-Nisa’:

1) Bacaan secara isbat alif ( لامستم ) oleh Imam Nafi`, Ibnu Kathir, Abu `Amr, Ibnu `Amir, `Asim, Abu Ja`far dan Ya`qub. Bacaan ini hanya membawa makna ( الملامسة ) iaitu kinayah kepada jima’.

2) Bacaan secara hazaf alif ( لمستم ) oleh Imam Hamzah, al-Kisa’ei dan Khalaf al-`Asyir. Bacaan ini pula membawa makna ( اللمس ) iaitu mengandungi dua makna; sentuhan tangan atau jima’.

Beliau berpandangan mesti meletakkan ayat yang hanya mengandungi satu makna ke atas ayat yang mengandungi dua makna. Ayat yang mengandungi satu makna merupakan ayat muhkamat, manakala ayat yang mengandungi dua makna merupakan ayat mutsyabihat. Beliau menguatkan hujah bahawa Allah SWT telah memerintahkan agar meletakkan ayat muhkamat ke atas ayat mutsyabihat seperti dinyatakan oleh Allah SWT di dalam Surah Ali `Imran ayat 7.

Oleh itu, bagi beliau bacaan qiraat ( لامستم ) merupakan ayat muhkamat yang mesti diletakkan ke atas bacaan qiraat ( لمستم ) yang merupakan ayat mutsyabihat.

Pada siri yang akan datang penulis akan membawa beberapa contoh ayat al-Quran untuk meneliti serta melihat peranan yang dimainkan oleh qurra’ dalam membantu fuqaha’ menetapkan sesuatu hukum berdasarkan perbezaan pada bacaan qiraat.

والله تعالى أعلى وأعلم

Sumber rujukan:

1) Al-Quran

2) Muhadharat Fi Taujih al-Qiraat; Dr Abdul Karim Ibrahim Soleh. Pensyarah Tafsir Kuliah Al-Quran & Al-Qiraat Al-Azhar; Nota Kuliah Tahun Satu.Al-Quran & Al-Qiraat.

3) Al-Qiraat al-Mutawatirah Wa Astruha Fi ar-Rasm al-Qurani Wa al-Ahkam as-Syar`iah; Dr. Muhammad al-Habsy; Darul Fikr Beirut.

4) At-Taujih al-Balaghi Li al-Qiraat al-Quraniah; Dr Ahmad Sa`ad Muhammad; Maktabah al-Adab Kaherah.

5) Al-Ahruf as-Sab`ah Wa al-Qiraat as-Sab`; Ummu Habibah; Maktabah Aulad as-Syeikh Kaherah

6) Tarikh Ilmi al-Qiraat; Dr Sami Abdul Fatah Hilal; Wakil Kuliah Al-Quran & Al-Qirat Al-Azhar; Nota Kuliah Tahun Satu Al-Quran & Al-Qiraat.